Nama resminya ialah Ahmad ibn ‘Aly (al-Husainy al-Badawy).
Di antara nama-nama gelaran yang telah diberikan kepada beliau ialah
Syihabuddin (bintang agama), al-Aqthab, Abu al-Fityah (bapa para kesateria),
Syaikh al-‘Arab dan al-Quthab
an-Nabawy. Malah, asy-Syaikh Ahmad al-Badawy telah diberikan
nama gelar (laqab) yang banyak, sampai dua puluh sembilan nama.
Keturunan serta Tarikh dan Tempat Kelahiran
Al-Ghautha al-Kabir, al-Quthab al-Syahir,Shahibul-Barakat
wal-Karamat, asy-Syaikh Ahmad al-Badawy adalah seorang lelaki keturunan
Rasulullah SallAllahu ‘alaihi wa sallam, melalui Saiyidina al-Husain.
Menurut as-Saiyid Muhammad Murtadla az-Zabidy (meninggal
dunia pada tahun 1205 Hijrah), silsilah keturunan yang lengkap bagi asy-Syaikh
Ahmad al-Badawy ialah Ahmad ibn ‘Aly ibn Ibrahim ibn Muhammad ibn Abi Bakr ibn
Ismail ibn ‘Umar ibn ‘Aly ibn ‘Uthaman ibn al-Husain ibn Muhammad ibn Musa
al-Asyhab ibn Yahya ibn ‘Îsa ibn ‘Aly ibn Muhammad ibn Hasan ibn Ja‘far ibn
‘Aly al-HÁdy ibn Muhammad al-Jawad ibn ‘Aly ar-Ridlo ibn Musa al-Kadzim ibn
Ja‘far as-Shadiq ibn Muhammad al-Baqir ibn Zain al-‘Àbidin ‘Aly ibn al-Husain
ibn ‘Aly ibn Abi ThaAlib.
Ibu kepada asy-Syaikh Ahmad al-Badawy yang bernama
Fathaiimah bint Muhammad ibn Ahmad ibn ‘AbdullÁh ibn Musa ibn Syu‘aib juga
adalah seorang keturunan RaslullÁh Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Dan nenek
(yakni ibu kepada ibu) kepada asy-Syaikh Ahmad al-Badawy yang bernama Asma’
bint ‘Uthaman pula, adalah anak saudara kepada seorang raja yang pernah
memerintah negara Moroko.
Asy-Syaikh Ahmad al-Badawy telah dilahirkan pada tahun 596
Hijrah di Fez (yang dieja juga sebagai Fés, dan disebut Fas di dalam Bahasa
Arab), yang menjadi ibu negara Moroko pada waktu itu. Dia telah meninggal dunia
pada hari Selasa, 12 haribulan Rabiulawal tahun 675 Hijrah, ketika berumur 79
tahun, di kota Thantha, yang terletak di utara negara Mesir, dan berada lebih
kurang 90 kilometer dari kota al-Qahirah. (Pada masa dahulu, THantha pernah
dikenali sebagai Thananditha).
Asy-Syaikh Ahmad al-Badawy adalah seorang wali Allah yang
sangat luas kemasyhurannya dan telah diberikan penghormatan yang istimewa.
Karena itu, kuburnya sentiasa dikunjungi para pelawat pada setiap hari. Mereka
ini datang dari jauh dan dekat, dengan berbagai-bagai niat dan hajat. Dan Allah
Ta‘ala selalu memakbulkan doa-doa mereka di situ, karena memuliakan waliNya
ini.
Orang-orang Mesir telah mengkhususkan tiga upacara tahunan
untuk memperingati asy-Syaikh Ahmad al-Badawy. Sambutan maulid asy-Syaikh Ahmad
al-Badawy di Thantha ini dihadiri oleh ramai manusia, sehingga kadangkala
jumlah mereka mencecah angka tiga juta orang. Dan yang turut menghadiri
sambutan maulid asy-Syaikh Ahmad al-Badawy, bukan saja mereka dari kalangan
para pengamal ath-Thariqah al-Ahmadiyyah al-Badawiyyah, tetapi juga dari
kalangan para pengamal tarekat-tarekat lain, dan termasuklah juga beberapa
orang pembesar negara Mesir. Malah, presiden negara Mesir sendiri telah
menghantar seorang menteri sebagai wakil peribadinya ke majlis-majlis maulid
asy-Syaikh Ahmad al-Badawy.
Kota Thantha adalah sebuah kota yang agak sederhana
geografisnya. (Universiti al-Azhar juga mempunyai cabang di kota Thantha, di
mana terdapat juga beberapa orang penuntut dari Malaysia.) Tetapi, ketika
sambutan maulid asy-Syaikh Ahmad al-Badawy sedang diadakan, jumlah penduduk
kota Thantha akan menjadi berlipat ganda. Ia menjadi seakan-akan kota Makkah
al-Mukarramah pada waktu musim haji. Ini adalah sebagai satu tanda yang
asy-Syaikh Ahmad al-Badawy masih popular di kalangan rakyat jelata, walaupun sudah
lebih dari tujuh ratus tahun dia meninggal dunia.
Silsilah Tarekat dan Peninggalannya
Asy-Syaikh Ahmad al-Badawy adalah seorang wali Allah yang
sangat terkenal di negara Mesir. Dia juga adalah pengasas ath-Thariqah
al-Ahmadiyyah, yang dikenali juga sebagai ath-Thariqah al-Badawiyyah. Dan
ath-Thariqah al-Ahmadiyyah pula, telah berpecah kepada beberapa cabang dan
ranting lain, seperti ath-Thariqah al-Anbabiyyah ath-Thariqah al-Bandariyyah,
ath-Thariqah al-BaiyÍmiyyah, ath-Thariqah al-Halabiyyah, a ath-Thariqah
al-Hammidiyyah, ath-Thariqah al-Kannasiyyah, ath-Thariqah as-Salamiyyah,
ath-Thariqah asy-Syinnawiyyah, ath-Thariqah as-Suthhiyyah, ath-Thariqah
az-Zahidiyyah.
Asy-Syaikh Ahmad al-Badawy telah menerima ijazah tarekat
dari asy-Syaikh al-Birry, yang telah menerima dari asy-Syaikh ‘Abi Nu‘aim
al-Baghdady, yang telah menerima dari asy-Syaikh Abi al-‘Abbas Ahmad ibn Abi
al-Hasan ‘Aly ar-Rifa’y, yang telah menerima dari asy-Syaikh ManSÍr
al-Batha’ihy ar-Rabbany, yang telah menerima dari asy-Syaikh ‘Aly al-Qari’
al-Wasithy, yang telah menerima dari asy-Syaikh Abi al-Fadhl ibn Kamikh, yang
telah menerima dari asy-Syaikh Abi ‘Aly Ghulam ibn Tarakan, yang telah menerima
dari asy-Syaikh ‘Aly ibn Barbary (yang disebut juga sebagai Ibn al-Baranbary),
yang telah menerima dari asy-Syaikh ‘Aly al-‘Ajamy (yang dikenali juga sebagai
asy-Syaikh Mahally al-‘Ajamy), yang telah menerima dari asy-Syaikh Abi Bakr
Dulaf ibn Jahdar asy-Syibly, yang telah menerima dari asy-Syaikh Abi al-Qasim
al-Junaid ibn Muhammad al-Baghdady, yang telah menerima dari asy-Syaikh Abi
al-Hasan Sary ibn al-Mughalis as-Saqathy, yang telah menerima dari asy-Syaikh
Ma‘ruf ibn Fairuz al-Karkhy, yang telah menerima dari asy-Syaikh Abi Sulaiman
Dawud ibn Nasirr ath-Tha’y, yang telah menerima dari asy-Syaikh Abi Muhammad
Habi ibn ‘Îsa al-‘Ajamy, yang telah menerima dari asy-Syaikh Abi Sa‘id al-Hasan
ibn Abi al-Hasan Yasar al-Bashry, yang telah menerima dari al-Imam al-Hasan ibn
‘Aly, yang telah menerima dari bapanya yakni al-Imam ‘Aly ibn AbÍ Thalib, yang telah
menerima dari sepupunya yang juga adalah bapa mertuanya yakni junjungan kita
Saiyidina Muhammad Raslullah SallAllahu ‘alaihi wa sallam.
Asy-Syaikh Ahmad al-Badawy tidak pernah mengarang sebarang
kitab. Cuma yang ada ialah sebuah kitab yang telah ditulis oleh seorang
muridnya, mengikut pengimlakan asy-Syaikh Ahmad al-Badawy. Kitab ini tersimpan
di dalam masjid asy-Syaikh Ahmad al-Badawy di kota Thantha.
Di antara amalan-amalan asy-Syaikh Ahmad al-Badawy yang
masih popular dan diamalkan oleh umat Islam di seluruh dunia ialah selawat
an-Nur dan selawat al-Qabdlah (dikenali juga sebagai selawat ar-Ra’ysiyyah).
Asy-Syaikh Ahmad al-Badawy juga meninggalkan beberapa Hizb ringkas yang
diamalkan oleh para pengikut ath-Thariqah al-Ahmadiyyah pada waktu Subuh dan
pada waktu Isyak.
Asy-Syaikh Ahmad al-Badawy telah diumpamakan oleh ahli-ahli
sufi sebagai satu permata cemerlang dari perbendaharaan Ahlul-Bait. Seperti
keadaan beberapa orang wali Allah lain yang telah diberikan tugas untuk
mendidik, asy-Syaikh Ahmad al-Badawy juga telah bertugas sebagai seorang guru
dan pendakwah. Namun, asy-Syaikh Ahmad al-Badawy telah dipilih untuk mendidik
kumpulan para petani di daerah pendalaman, sebagaimana ada wali-wali Allah lain
yang telah dipilih untuk mendidik para saudagar dan para cerdik pandai di
kota-kota besar. ( Sufinewsdotcom)
0 komentar :
Post a Comment